Sunday 25 November 2012

PERKATAAN BERLAWAN

Perkataan Berlawan ialah perkataan yang mempunyai maksud berlawanan. Perkataan berlawan juga dikenali sebagai antonim.
Contoh:
1) menolak  x   menarik
2) tinggi   x   rendah
3) ceria   x   muram
4) lembut   x   keras
5) busuk   x   wangi

PERKATAAN SEERTI

Perkataan Seerti ialah perkataan yang mempunyai sama maksud. Perkataan seerti juga dikenali sebagai sinonim.

Contoh:
1) ajak = jemput
2) mengawal = menjaga
3) dekat = hampir
4) susun = atur
5) melarang = menghalang

KATA PERINTAH

Kata Perintah ialah perkataan yang digunakan untuk menunjukkan arahan dalam sesuatu ayat.

Kata perintah menyatakan larangan, tegahan, arahan, silaan, harapan dan permohonan.

Ayat contoh:
1) Sila tanggalkan kasut anda.
2) Minta kalian bersabar sebentar.
3) Tolong tutup tingkap itu.
4) Jangan bermain di tepi jalan.
5) Harap kamu dapat maafkan saya.

KATA BANTU

Kata Bantu ialah kata tugas yang digunakan untuk menerangkan maksud ayat.
(a) Kata bantu aspek menerangkan sesuatu perbuatan dari segi masa iaitu sama ada sudah, sedang,
      masih, akan atau belum.

(b) Kata bantu ragam menerangkan ragam atau perasaan yang berkaitan dengan perbuatan yang
      dilakukan. contohnya: mesti, harus, hendak, mahu, boleh dapat, patut dan mungkin.

Ayat contoh:
1) Saya belum membaca buku cerita iyu.
2) Ayah Ah Meng pernah bekerja di kilang itu.
3) Kita mesti menghormati warga emas.
4) Kamu patut mematuhi peraturan sekolah.

KATA SERU

Kata Seru berfungsi melahirkan pelbagai perasaan dan digunakan dalam ayat seru.
Contohnya, ah, oh, eh, cis, wah, hai, aduh, aduhai, amboi, syabas, wahai

Ayat contoh:
1) Ah, aku tidak mahu melakukannya!
2) Eh, kamu pun ada di sini!
3) Aduh, sakitnya kepala saya!
4) Syabas, kamu mendapat 7A dalam peperisaan.
5) Wah, cantiknya baju kamu!

KATA ARAH

Kata Arah ialah kata yang digunakan untuk menunjukkan arah.
contoh: bawah, belakang, atas, dalam, tepi

Ayat contoh:
1) Ali meletakkan begnya di bawah pokok.
2) Datuk menyimpan cangkul di dalam bilik stor.
3) Ramai penonton bersorak-sorai di tepi padang.

Wednesday 21 November 2012

KATA SENDI NAMA

Kata Sendi Nama digunakan untuk menyambungkan frasa nama dengan kata atau frasa yang lain.
Kata Sendi Nama letaknya di hadapan kata nama atau frasa nama.
Contohnya: tentang, kepada, oleh, untuk, di, dari, ke, sejak, hingga.
Ayat contoh:
1) Buku itu menceritakan tentang kisah penjuang tanah air.
2) Tikar mengkuang itu dianyam oleh nenek.
3) Mereka pergi ke Pulau Pangkor.
4) Pemandu itu bekerja hingga larut malam.
5) Ramaloo dan Ket Ming berkawan sejak kecil.

KATA HUBUNG

Kata Hubung ialah perkataan yang digunakan untuk menghubungkan perkataan dengan perkataan, frasa dengan frasa dan ayat dengan ayat.
Contohnya:
untuk, sementara, lalu, tetapi, kerana, apabila, dan, atau, kecuali, sambil, malahan, walaupun.
Ayat contoh:
1)  Mesin ini dicipta untuk meningkatkan pegeluaran.
2)  Kakak membaca buku sementara menunggu ayah datang menjemputnya.
3)  Rumah itu besar tetapi hiasan dalamnya tidak menarik.
4)  Buku itu latis terjual kerana isi kandungannya bermutu.
5)  Kedai itu dibuka setiap hari kecuali pada Hari Ahad

KATA BILANGAN

Kata Bilangan digunakan untuk menghitung benda, orang atau sesuatu.
Jenis-jenis Kata Bilangan adalah seperti berikut:
a) Kata Bilangan Tentu
    contoh: satu, dua, seribu
b  Kata Bilangan Tak Tentu
    contoh: segala, semua, para
c)  Kata Bilangan Himpunan
     contoh: kedua-dua, berabad-abad
d) Kata Bilangan Pisahan
    contoh: tiap-tiap, masing-masing
e) Kata Bilangan Pecahan
    contoh: setengah, sepertiga

KATA ADJEKTIF

Kata Adjektif ialah kata yang digunakan untuk menerangkan sifat sesuatu kata nama.
Kata Adjektif dibahagikan kepada beberapa jenis:
a)  Sifat
     contoh: selesa, bising, tenang
b)  Ukuran
     contoh: kecil, besar, panjang
c)  Warna
     contoh: merah, hitam, kuning
d)  Bentuk
     contoh: bujur, bulat, lonjong
e)  Waktu
     contoh: segera, baru, sebentar
f)  Perasaan
     contoh: gembira, malu, bangga
g)  Pancaindera
     contoh: wangi, tawar, masin
h)  Cara
     contoh: lambat, deras, pantas

KATA KERJA

Kata Kerja ialah kata yang digunakan untuk menyatakan poerbuatan atau perbuatan. Kata Kerja dibahagikan kepada dua jenis:
a)  Kata Kerja Transitif
     Contoh:  menanam. menggalas, memimpin, menggilap, mengayun.

b)  Kata Kerja Tak Transitif
     Contoh:  menangis, ketawa, makan, bangun, berjalan.

Tuesday 20 November 2012

KATA NAMA KHAS

Kata Nama Khas digunakan untuk merujuk kepada orang, benda, tempat, binatang dan sebagainya secara khusus.
Kata Nama Khas dimulakan dengan huruf besar pada awal perkataan.
1  Benda
    Proton Wira, Panasonic, Adidas
    -Kamus elektronik jenama Panasonic itu berhaarga RM500.
2  Orang
    Kok Seng, Cikgu Aminah, Yuk Sing
    -Cikgu Aminah mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia.
3  Haiwan
    Sang Kancil, Sang Arnab, Pak Belang
    -Sang Kancil sangat bijak memperdaya musuhnya.
4  Tempat
    Ngeri Sembilan, Restoran Tudung Saji, Balai Polis Kluang
    -Kami sekeluarga menjamu selera di Restoran Selasih.

KATA TUNGGAL


Pembentukan Kata dalam bahasa Melayu mempunyai beberapa cara membentuk perkataannya. Ada bentuk perkataan yang bersifat tunggal, contohnya rumah, tinggal dan putih. Di samping itu terdapat perkataan yang dibentuk hasil daripada proses pengimbuhan, pemajmukan dan penggandaan. Contoh perkataan yang dibentuk secara pengimbuhan ialah meninggal dan meninggalkan. Contoh perkataan yang dibentuk secara pemajmukan ialah reka bentuk dan surat khabar. Manakala contoh perkataan yang dibentuk secara penggandaan ialah besar – besar dan baju – baju.

KATA GANDA


Kata ganda ialah perkataan yang mengalami proses pengulangan pada kata dasar (Tatabahasa Dewan, 1996). Kata Ganda dalam bahasa Melayu dapat dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu :

1.kata ganda penuh,

2. kata ganda separa, dan

3. kata ganda berentak

KATA NAMA AM

Kata Nama Am digunakan untuk merujuk kepada benda, tempat, binatang, orang dan sebagainya secara umum.
contoh:
1  Benda
    meja, bas, bendera, kerusi
    - Pelbagai jenis kuih di atas meja.
2  Orang
    rakan, guru, murid
    -Murid itu sangat gigih berusaha demi mencapai cita-citanya.
3  Haiwan
    ikan, kucing, burung
    -Beberapa ekor burung hinggap di atas dahan pokok.
4  Tempat
    kantin, bilik, taman bunga
    - Ganesh dan rakan-rakannya beriadah di taman bunga.

Monday 19 November 2012

KATA MAJMUK


Pemajmukan Kata ialah proses yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih dan bentuk yang terhasil membawa makna tertentu. Kata majmuk dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit iaitu bentuknya tidak boleh menerima sebarang penyisipan unsur lain.

KATA TERBITAN

Kata terbitan ialah bentuk kata yang mengandungi kata dasar yang mendapat atau menerima imbuhan, baik awalan, sisipan, akhiran, atau apitan. Contohnya, pada kata membeli, kata ini mempunyai awalan mem- dan kata dasar beli. Gabungan kata dasar beli dan imbuhan mem- menghasilkan kata terbitan membeli.