Sunday 25 November 2012

PERKATAAN BERLAWAN

Perkataan Berlawan ialah perkataan yang mempunyai maksud berlawanan. Perkataan berlawan juga dikenali sebagai antonim.
Contoh:
1) menolak  x   menarik
2) tinggi   x   rendah
3) ceria   x   muram
4) lembut   x   keras
5) busuk   x   wangi

PERKATAAN SEERTI

Perkataan Seerti ialah perkataan yang mempunyai sama maksud. Perkataan seerti juga dikenali sebagai sinonim.

Contoh:
1) ajak = jemput
2) mengawal = menjaga
3) dekat = hampir
4) susun = atur
5) melarang = menghalang

KATA PERINTAH

Kata Perintah ialah perkataan yang digunakan untuk menunjukkan arahan dalam sesuatu ayat.

Kata perintah menyatakan larangan, tegahan, arahan, silaan, harapan dan permohonan.

Ayat contoh:
1) Sila tanggalkan kasut anda.
2) Minta kalian bersabar sebentar.
3) Tolong tutup tingkap itu.
4) Jangan bermain di tepi jalan.
5) Harap kamu dapat maafkan saya.

KATA BANTU

Kata Bantu ialah kata tugas yang digunakan untuk menerangkan maksud ayat.
(a) Kata bantu aspek menerangkan sesuatu perbuatan dari segi masa iaitu sama ada sudah, sedang,
      masih, akan atau belum.

(b) Kata bantu ragam menerangkan ragam atau perasaan yang berkaitan dengan perbuatan yang
      dilakukan. contohnya: mesti, harus, hendak, mahu, boleh dapat, patut dan mungkin.

Ayat contoh:
1) Saya belum membaca buku cerita iyu.
2) Ayah Ah Meng pernah bekerja di kilang itu.
3) Kita mesti menghormati warga emas.
4) Kamu patut mematuhi peraturan sekolah.

KATA SERU

Kata Seru berfungsi melahirkan pelbagai perasaan dan digunakan dalam ayat seru.
Contohnya, ah, oh, eh, cis, wah, hai, aduh, aduhai, amboi, syabas, wahai

Ayat contoh:
1) Ah, aku tidak mahu melakukannya!
2) Eh, kamu pun ada di sini!
3) Aduh, sakitnya kepala saya!
4) Syabas, kamu mendapat 7A dalam peperisaan.
5) Wah, cantiknya baju kamu!

KATA ARAH

Kata Arah ialah kata yang digunakan untuk menunjukkan arah.
contoh: bawah, belakang, atas, dalam, tepi

Ayat contoh:
1) Ali meletakkan begnya di bawah pokok.
2) Datuk menyimpan cangkul di dalam bilik stor.
3) Ramai penonton bersorak-sorai di tepi padang.

Wednesday 21 November 2012

KATA SENDI NAMA

Kata Sendi Nama digunakan untuk menyambungkan frasa nama dengan kata atau frasa yang lain.
Kata Sendi Nama letaknya di hadapan kata nama atau frasa nama.
Contohnya: tentang, kepada, oleh, untuk, di, dari, ke, sejak, hingga.
Ayat contoh:
1) Buku itu menceritakan tentang kisah penjuang tanah air.
2) Tikar mengkuang itu dianyam oleh nenek.
3) Mereka pergi ke Pulau Pangkor.
4) Pemandu itu bekerja hingga larut malam.
5) Ramaloo dan Ket Ming berkawan sejak kecil.